Advertisement

Polis Rakam Keterangan Lima Individu Berhubung Insiden DBKL dan Abang Belon – Sabah News

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan daripada ibu ‘Abang Belon’ berhubung kekecohan yang melibatkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan itu dibuat tengah malam Ahad.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan lima individu berhubung insiden itu, lapor Awani.

“Kita dalam proses melengkapan siasatan berdasarkan keterangan-keterangan saksi selain meneliti rakaman litar kamera tertutup (CCTV).

“Kita hanya merakam keterangan dan tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Sulizmie Affendy memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Polis membuka kertas siasatan susulan laporan yang dibuat seorang anggota penguat kuasa mengenai kejadian itu, pada Sabtu.

Terdahulu, media melaporkan keadaan di Jalan TAR kecoh Jumaat malam susulan perselisihan antara peniaga belon dan penguat kuasa DBKL.

Berdasarkan dua rakaman video tular di media sosial sejak awal pagi Sabtu, berlaku aksi tolak menolak antara penguat kuasa DBKL dan sekumpulan peniaga yang cuba mempertahankan barangan jualan mereka.

Insiden itu turut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin yang mahu siasatan terperinci dilakukan segera.