PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) telah melaksanakan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat 24 di Stesen Minyak Shell, Pekan Donggongon, Penampang pada awal pagi kelmarin.
Kempen yang diketuai oleh Ketua BSPT Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bertanggungjawab untuk mengedarkan risalah berkaitan keselamatan jalan raya serta memberikan penerangan kepada pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.
“Selain itu, pasukan BSPT Penampang turut melakukan semakan saman ke atas kenderaan awam yang melalui kawasan tersebut sebagai langkah memastikan pemandu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kempen ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan masyarakat,” jelas Polis Penampang dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Polis Penampang akan terus komited dalam memastikan keselamatan masyarakat terjaga khususnya dalam musim perayaan dan operasi khas seperti Op Selamat 24 ini.