KINABATANGAN: Beberapa buah rumah telah mula dinaiki air dalam insiden bencana banjir yang berlaku di Kampung Pengkalan Bukit Garam pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, N. Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai bencana banjir itu pada jam 9.16 pagi.
Katanya seramai lima anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.
“Pemanggil memaklumkan terdapat beberapa buah rumah telah dinaiki air.
“Pasukan Bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan menjalankan operasi penyelamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.