Advertisement

Mangsa Terakhir Jatuh Tebing Laut di Sandakan Ditemui Meninggal Dunia Pada SAR Hari Ketiga – Sabah News

SANDAKAN: Mangsa terakhir bagi kes jatuh ke tebing laut dan lemas dalam kejadian berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel Sandakan baru-baru ini telah pun ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga di sini, semalam.

Mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ketika ditemui oleh nelayan didapati telah pun meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, operasi SAR kelmarin oleh pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain dimulakan pada jam 6.41 pagi bagi mencari seorang lagi mangsa yang belum ditemui dengan radius pencarian 4 kilometer.

“Mangsa telah ditemui oleh nelayan pada jam 5.44 petang di Kawasan Pulau Berhala berjarak 3 kilometer dari mangsa dlaporkan hilang.

“Pihak nelayan telah menyerahkan mangsa kepada pasukan penyelamat di jeti marin dan seterusnya keluarga mangsa mengesahkan mangsa yang terakhir telah ditemui pada jam 8.25 malam sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, dilaporkan terdapat empat mangsa jatuh dan lemas di tebing laut di mana seorang mangsa, iaitu wanita dewasa berjaya diselamatkan orang awam.

Manakala tiga lagi mangsa termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan yang terakhir kanak-kanak perempuan berusia enam tahun tidak berjaya diselamatkan dan kesemua mereka ketika ditemui telah pun meninggal dunia.

Turut dilaporkan bahawa kesemua mangsa lemas ini merupakan warga asing.