Advertisement

Kelab IPT Kiulu Dicadang Untuk Pemerkasaan Belia – Sabah News

KIULU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, mencadangkan penubuhan Kelab Pelajar IPT Kiulu sebagai platform untuk pelajar tempatan menjalankan aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, kewujudan kelab ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama pelajar, malah menjadi medium interaksi lebih erat dengan kepimpinan setempat.

Beliau yakin pelajar IPT dari Kiulu mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui program yang bermakna.

Cadangan ini disambut baik oleh sekumpulan pelajar IPT yang diketuai Christella Moureen Yain, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Utara Malaysia.

Mereka bercadang membentuk jawatankuasa protem sebagai langkah awal ke arah penubuhan kelab tersebut.

“Saya percaya dengan adanya kelab ini, kami dapat memainkan peranan lebih aktif dalam membangunkan Kiulu,” kata Christella.

Joniston turut memberi komitmen untuk menyokong aktiviti kelab dan menyediakan bantuan yang diperlukan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa belia, beliau telah memperuntukkan RM50,000 bagi penganjuran aktiviti belia di DUN Kiulu sejak awal tahun ini.

Dalam dua program belia anjuran gereja Seventh Day Adventist hujung minggu lalu, Joniston turut menekankan kepentingan kepimpinan dan disiplin dalam membentuk pemimpin masa depan.

“Disiplin dan nilai kepimpinan harus dipupuk sejak awal. Golongan belia perlu sentiasa meningkatkan kemahiran diri dan menjadi contoh yang baik dalam masyarakat,” katanya.