Advertisement

Tiga Meninggal Angkara Ibu Bawa Anak Terjun Ke Laut Di Sandakan – Sabah News

SANDAKAN: Seorang ibu berusia 29 tahun yang membawa dua orang anaknya terjun ke laut mengakibatkan kematian kedua-dua anaknya dan seorang lelaki yang cuba menyelamatkan mereka dalam kejadian di Jalan Coastal, kira-kira jam 1.09 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Ashmon Bajah, berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 29 tahun itu merupakan warga asing.

“Dia terjun bersama anak lelakinya berusia empat tahun dan anak perempuannya berusia enam tahun. Namun wanita terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai terjun ke laut dalam usaha menyelamatkan mereka turut meninggal dunia,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui berhampiran lokasi kejadian pada jam 7.08 pagi Ahad.

Pada hari ketiga operasi SAR, nelayan menemui mayat mangsa terakhir iaitu kanak-kanak perempuan yang terdampar di pantai Pulau Berhala pada jam 5.44 petang Selasa.