KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan bahawa kejadian penemuan mayat seorang lelaki tergantung kelmarin di ODEC, tidak melibatkan warga universiti.
UMS dalam satu kenyataan menerusi Pusat Komunikasi Koprat berkata, kejadian itu telah disahkan berlaku di luar sempadan kawasan kampus UMS.
“Untuk makluman, kejadian ini tidak melibatkan mana-mana pelajar atau kakitangan universiti ini.
“UMS telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak UMS menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kelmarin, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai bantuan mengambil mayat tersebut pada jam 1.23 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi sejauh 16 kilometer dan tiba pada jam 1.40 petang.
“Kawalan balai terima panggilan daripada pihak PDRM mohon bantuan mengambil mayat yang tergantung di atas pokok di kawasan lereng bukit,” katanya.