Advertisement

Premis Tamu Desa Beri Tambah Nilai Kemudahan Tamu Komuniti – Sabah News

KOTA BELUD: Pembinaan premis Tamu Desa Kg.Rosok Tampasuk bernilai RM200,000 yang kini siap sepenuhnya akan memberi nilai tambah kepada kemudahan tamu komuniti sedia ada, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga kecil dan penduduk setempat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata premis baharu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Madani dalam memperkasakan ekonomi luar bandar melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Bangunan berkonsepkan dewan terbuka ini bukan sahaja menambah baik kemudahan sedia ada di tamu komuniti yang diadakan setiap hari Khamis, tetapi juga memberi ruang yang lebih selesa kepada para peniaga.

“Saya gembira kerana komuniti kampung kini mempunyai premis tamu yang lebih selesa, bukan sahaja untuk menjual hasil pertanian tetapi juga bagi pelaksanaan program Jualan Rahmah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke premis Tamu Desa Rosok, Tampasuk, di sini, pada Jumaat.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata premis Tamu Desa ini akan menjadi platform utama bagi peniaga kecil untuk memasarkan produk tempatan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.

“Kerajaan sentiasa komited dalam menyokong keperluan peniaga kecil, terutama di kawasan luar bandar, dan akan meneruskan pelaksanaan program Tamu Desa sebagai usaha memperkukuh ekonomi rakyat.

“Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Tamu Desa ini merupakan salah satu daripada 18 Tamu Desa di Kota Belud yang telah siap dibina melalui peruntukan KUSKOP, pada tahun 2024.