KOTA KINABALU: Ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025M/1446H di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri (Dr) Musa Aman dan isteri, Toh Puan Datin Seri Datuk Faridah Tussin.
Majlis itu yang dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada 9 buah institusi kebajikan sekitar kawasan pantai barat.
Dalam ucapannya semasa beramah mesra dengan para pengunjung, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M.Yahya, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr. Jeffrey G.Kitingan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir.Shahelmey Yahya serta menteri-menteri kabinet negeri.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Tahun 2025 yang dihadiri oleh kira-kira 20 ribu pengunjung itu, diserikan dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian.
Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih.