KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun, mendesak satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemungkinan campur tangan kerajaan negeri dalam sistem pendaftaran negara semasa Datuk Seri Shafie Apdal Ketua Menteri.
Ini selepas dua pucuk surat rasmi yang didakwa mengandungi arahan bertulis oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung kelulusan permohonan dokumen pengenalan diri, tular baru-baru ini.
Katanya, surat bertarikh 26 April dan 9 Oktober 2019 itu masing-masing ditujukan kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan serta Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan arahan agar permohonan dokumen pengenalan diluluskan.
“Tindakan itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap pengaruh politik dalam kelulusan MyKAS, MyPR dan MyKAD.
“Walaupun Ketua Menteri tiada kuasa mutlak meluluskan kewarganegaraan, isu utama ialah mengapa permohonan boleh terus disokong melalui minit rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Steve juga menggesa JPN dan KDN mendedahkan secara telus jumlah permohonan yang menerima sokongan bertulis daripada Shafie semasa pentadbirannya antara 2018 hingga 2020.
Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk sama ada permohonan itu melalui proses saringan lengkap, asas arahan kelulusan, dan sama ada ia bercanggah dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendaftaran Negara 1959 serta Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mencadangkan siasatan oleh SPRM dan PDRM sekiranya wujud elemen penyalahgunaan kuasa.
“Rakyat Sabah belum melupakan kesan Projek IC iaitu isu pemberian kewarganegaraan secara tidak sah. Kita tidak mahu kesilapan sama berulang.
“Soal kewarganegaraan bukan isu politik. Ia soal kedaulatan negara,” tegasnya.