KOTA KINABALU: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukanlah bersifat eksklusif, sebaliknya BN terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang berkongsi aspirasi yang sama, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menurut beliau, perkara paling penting dalam membentuk kerjasama politik ialah keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama.
“BN dan PH perlu mencapai kata sepakat dalam menentukan rakan gabungan terbaik bagi Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook terbaharu.
Namun, bekas Ketua Menteri Sabah itu menegaskan bahawa BN dan PH perlu bersatu menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Salleh turut menyatakan bahawa BN dan PH merupakan tiang utama kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Di Sabah, kita mesti kekal bersatu. Kekuatan kita terletak pada komitmen terhadap perpaduan, kestabilan, dan pembangunan.
“Fokus kita seharusnya kepada negeri dan rakyat, bukannya terperangkap dalam permainan politik yang tidak berkesudahan. Kita menolak politik perpecahan yang merosakkan perpaduan masyarakat,” ujarnya.
Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan menekankan bahawa mana-mana gabungan perlu mengambil kira beberapa faktor penting.
Ini termasuk agihan kerusi yang adil dan saksama serta dasar-dasar bersama, katanya.
Tambah beliau, sebarang kerjasama mestilah menghormati autonomi Sabah dan mewujudkan suasana politik yang berteraskan saling menghormati, bukannya dominasi atau sikap “abang besar”.
“Apabila prinsip-prinsip ini telah dipersetujui, semua pihak mesti bergerak sebagai satu pasukan.
“Ini bukan perjuangan peribadi; ia adalah komitmen kolektif demi masa depan Sabah,” tegasnya.