Advertisement

Gajah Pygmy Borneo Ditemui Mati Dalam Keadaan Dipenggal Di Tawau – Sabah News

Gambar sekadar hiasan…

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan seekor lagi gajah pygmy Borneo yang diancam kepupusan ditemui mati dalam keadaan dipenggal di kawasan Tibow, sepanjang Jalan Kalabakan-Sapulut, Tawau baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd Soffian Abu Bakar yang dipetik Suara.TV berkata pihaknya menerima laporan mengenai bangkai haiwan tersebut tiga hari lalu, dan siasatan kini sedang dijalankan.

Penemuan ini mengulangi insiden serupa yang berlaku pada Januari lalu, apabila seekor anak gajah pygmy turut ditemui dalam keadaan sama di kawasan berdekatan.

Kejadian berulang itu menimbulkan kebimbangan serius tentang kewujudan aktiviti pemburuan haram yang terancang, dipercayai menyasarkan gajah bagi tujuan pengambilan gading atau bahagian badan lain untuk dijual di pasaran gelap.

Gajah pygmy Borneo merupakan subspesies terkecil dalam keluarga gajah Asia, dengan ketinggian antara 8.2 hingga 9.8 kaki. Ia mudah dikenali menerusi telinga yang besarekor yang panjang hingga menyentuh tanah, serta gading yang lebih lurus berbanding spesies lain.

Dahulunya dipercayai berasal daripada kawanan gajah jinak yang dihadiahkan kepada Sultan Sulu pada abad ke-17, namun analisis DNA oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) mendapati gajah ini telah terpisah secara genetik daripada gajah Asia di tanah besar dan Sumatera selama lebih 300,000 tahun.

Kini, hanya kurang daripada 1,500 ekor dipercayai masih wujud di habitat semula jadi mereka.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, mengecam keras kejadian ini dan menyifatkannya sebagai kezaliman terhadap spesies terancam.

Datuk Christina Liew…

Dalam insiden Januari, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memburu dan mendakwa pelaku terlibat. Difahamkan, Christina akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas menerima laporan penuh hasil siasatan terbaru ini.