KOTA KINABALU: Kenaikan tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada negara ini seharusnya perlu dimanfaat untuk membantu memperkasa penjenamaan produk tempatan.
Timbalan Pengerusi Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) Mohd. Isquzawan Israq Datuk Arsit yang tidak menafikan kesan tarif tersebut kepada penurunan kuasa beli dalam negara berkata, sebaliknya kerajaan perlu lebih kreatif dalam mencari mekanisme meningkatkan produk-produk tempatan.
“Bagi saya pandangan saya adalah mungkin kerajaan kena pertimbangkan untuk peningkatan khususnya produk-produk tempatan ini. Sebab kita lihat dengan adanya produk tempatan, ini sahaja yang mampu memberi saingan kepada produk-produk import.
“Kita juga kena fikir, kita harus kurangkan kebergantungan terhadap produk-produk import ini. Kerana kita yakin produk-produk, contohlah kita ambil, seperti produk Milo, sekarang ini banyak perisa yang boleh sama seperti Milo, cuma namanya berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan Datuk Seri Arsit Sedi, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengguna untuk lebih bijak dalam memilih barang-barang khususnya barang tempatan selain menggesa kerajaan untuk terus memberi dana suntikan kepada pengusaha-pengusaha produk tempatan.
“Kerajaan juga perlu memberi bantuan, suntikan dana dan sebagainya untuk mempergiatkan dan meningkatkan kualiti produk tempatn ini untuk dimasukkan ke pasaran yang lebih besar supaya pengguna ini mudah untuk membeli barang-barang tersebut.
“Kita perlu sedarkan pengguna bahawa ada lagi produk yang lebih baik berbanding produk import,” katanya lagi.