KOTA KINABALU: Seorang lelaki mencetuskan panik pagi tadi apabila dilaporkan berada di hujung sebuah kren menara (tower crane) di tapak pembinaan The Logg, Luyang, bersebelahan Klinik Kesihatan Luyang pada pagi hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi.
Sebuah jentera bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang diketuai PBK I Benny Lim telah digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 7.08 pagi, dengan kekuatan lapan anggota serta dua jentera FRT dan EMRS.
Menurut Komander Operasi, lelaki terbabit didapati berada di bahagian atas kren menara di kawasan pembinaan tersebut.
Bagaimanapun, mangsa akhirnya bertindak turun dengan sendirinya dalam keadaan selamat.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.02 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang risiko berbahaya di lokasi.
Identiti dan butiran lanjut mengenai lelaki tersebut masih belum didedahkan. Motif kejadian juga masih dalam siasatan pihak berkuasa.