KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Bersatu Sabah, Abdul Kadir Abdullah Damsal, mengumumkan beliau telah secara rasmi keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali menyertai UMNO, parti yang pernah dianggotainya sejak Oktober 1994.
Menurut Abdul Kadir, keputusan itu dibuat selepas meneliti pelbagai faktor termasuk kestabilan politik serta rekod prestasi UMNO dalam mentadbir negeri dan negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan Bendahari dan Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said, yang menggesa bekas ahli kembali menyokong UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang turut mempengaruhi keputusannya.
“UMNO telah membuktikan kemampuannya dalam pemerintahan, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Pengalaman luas dan pencapaian parti selama ini memberi keyakinan kepada saya untuk kembali,” katanya.
Abdul Kadir yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di tiga syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) berkata, kestabilan politik adalah asas penting bagi memastikan pembangunan ekonomi Sabah dapat diteruskan secara mampan.
Beliau menegaskan bahawa di bawah pentadbiran UMNO-BN, negeri ini menikmati kestabilan politik yang membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan.
Beliau turut menyenaraikan beberapa inisiatif utama kerajaan UMNO-BN terdahulu seperti penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Katanya, pembangunan pesat berlaku terutama semasa era kepimpinan Tun Musa Aman sebagai Ketua Menteri.
“Antara pencapaian terbesar era Musa termasuk pembinaan Menara Kinabalu, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), penubuhan SEDIA untuk menyelaras insentif ekonomi negeri dan Persekutuan, serta pewujudan hab pendidikan di Sandakan.
“Lima Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga diwujudkan di bawah pentadbiran beliau,” katanya.
Abdul Kadir juga menyentuh pelaburan besar Petronas dalam sektor minyak dan gas, khususnya pembinaan loji SAMUR di Sipitang yang bernilai RM50 bilion.
Pelaburan ini mencetuskan limpahan ekonomi termasuk peluang pekerjaan dan kontrak kepada syarikat tempatan. Dengan adanya loji kuasa Kimanis (KPP), Sabah turut menikmati bekalan tenaga tambahan sebanyak 300MW.
Dalam aspek ekonomi, beliau berkata kadar pengangguran Sabah di bawah pentadbiran UMNO-BN hanya sekitar 4.7 peratus hingga 5.7 peratus, manakala KDNK negeri pernah mencecah 8.1 peratus pada tahun 2017.
Sebaliknya, lima tahun kebelakangan ini menyaksikan pertumbuhan KDNK yang jauh lebih rendah iaitu bawah 3 peratus.
“Semua ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan. UMNO-BN telah membuktikan keupayaannya dan saya yakin mereka mampu mengulangi kejayaan lalu dan membawa impak yang lebih besar kepada rakyat Sabah,” katanya.
Abdul Kadir menyimpulkan bahawa UMNO memiliki tiga faktor kejayaan utama yang beliau gelarkan sebagai “EPS” – pengalaman, prestasi, dan kelestarian – yang menjadikan parti itu layak menjadi kuasa dominan semula di Sabah.