KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua vesel nelayan asing (VNA) dari Vietnam yang menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap hasil laut secara haram di perairan Kudat, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata kejayaan itu hasil maklumat awam yang diterima pihaknya sebelum dua aset rondaan, Bot CENDERAWASIH 10 dan ADAL 04, digerakkan ke lokasi sasaran sekitar jam 3.15 petang dalam pelaksanaan Op Khas Pagar Laut.
“Sebaik tiba kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, dua bot nelayan Vietnam dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, cubaan pihak Maritim untuk menghampiri kedua-dua bot itu menerima tentangan apabila suspek memotong tali tunda dan membiarkan tali tergantung di bahagian belakang bot serta memasang palang besi di sisi vesel bagi menghalang tindakan penguat kuasa.
Namun, taktik itu gagal selepas berlaku aksi kejar-mengejar selama 15 minit sebelum anggota Maritim berjaya melompat naik ke atas bot dan menghentikan pergerakan mereka.
“Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 45 kilogram balat basah serta 500 liter diesel di setiap bot yang disyaki digunakan untuk aktiviti perikanan haram.
“Turut ditemui ialah peralatan khas buatan besi padu yang direka khusus untuk menangkap balat.
“Seramai 12 individu warga Vietnam berumur antara 30 hingga 53 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua yang ditahan, termasuk dua bot dan hasil rampasan, telah diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan melebihi RM4 juta,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.