Advertisement

Lori Tiga Tan Bawa Muatan Tong Minyak Berisi Diesel Terbabas dan Terbalik – Sabah News

SIPITANG: Sebuah lori tiga tan yang membawa muatan tong minyak berisi diesel telah terbabas dan terbalik dalam kejadian kemalangan di Sungai Bolar di sini, pada Isnin.

Terdapat seorang mangsa terlibat, iaitu lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemandu kepada lori tersebut dilaporkan mengalami kecederaan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.25 petang.

Katanya, seramai lima anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi sejauh 12 kilometer.

“Lapor kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan tong minyak berisi diesel (25 tong), terbabas lalu terbalik di bahu jalan.

“Terdapat seorang mangsa terlibat di laporkan mengalami kecederaan dan dihantar oleh pasukan bomba ke hospital menggunakan jentera EMRS.

“Atas arahan komander Hazmat, Pasukan Bomba bersedia di lokasi kejadian sehingga kerja-kerja pemunggahan bahan api diesel dan lori selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pemeriksaan dijalankan di sekitar Kawasan memastikan tiada bahaya lain wujud operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.22 petang.