Advertisement

Tujuh Lelaki Ditahan, Bergaduh di Bandar Sri Indah, Tiga Dari Mereka Ada Rekod Jenayah dan Dadah – Sabah News

TAWAU: Tujuh lelaki ditahan polis kerana terlibat kes pergaduhan di sebuah kedai makan di Bandar Sri Indah.

Turut dilaporkan tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah. 

Polis Tawau dalam satu kenyataan hari ini berkata, seorang lelaki dimaklumkan oleh pekerjanya berkenaan kejadian pergaduhan di antara pelanggan telah berlaku di kedai makan miliknya.

“Akibat pergaduhan itu, beberapa peralatan kedai telah mengalami kerosakan sebelum beliau tampil di balai polis susulan kejadian tersebut.

“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau telah melancarkan operasi bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat dengan kes pergaduhan tersebut.

“Kesemua tujuh suspek yang dipercayai bergaduh berumur di antara 20 hingga 49 tahun telah ditahan dalam serbuan berasingan.

“Manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga orang dari mereka memiliki rekod kes berkaitan jenayah dan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala motif pergaduhan masih dalam siasatan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.