Advertisement

Anggota Polis Parah di Kepala, Tertembak Diri Sendiri – Sabah News

GEORGE TOWN: Seorang anggota polis lelaki mengalami cedera parah di kepala selepas terlepas tembakan kepada diri sendiri dalam kejadian di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.12 petang tadi apabila mangsa berusia 58 tahun yang bertugas di Cawangan Kem Komandan ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati satu das tembakan telah dilepaskan daripada sepucuk pistol yang digunakan mangsa.

“Siasatan masih diteruskan dari pelbagai sudut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39, Akta Senjata 1960,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini mangsa sedang menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

”Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga siasatan polis selesai,” katanya.