Advertisement

61 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Imigresen di Semporna – Sabah News

KOTA KINABALU: Seramai 61 warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran yang dijalankan di lima penempatan sekitar Semporna, bermula pagi Selasa hingga awal pagi Rabu.

Operasi yang disertai pegawai dari Semporna, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu ini berdasarkan risikan dan aduan awam selama tiga hari.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof, berkata, daripada 173 individu yang diperiksa, 61 warga asing telah ditahan melibatkan pelbagai warganegara termasuk Filipina, Indonesia, Pakistan dan China.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Semua individu yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.