Advertisement

Tiga Kompaun Dikeluarkan Dalam Ops Didik dan Tegur DBKK – Sabah News





KOTA KINABALU: Sebanyak tiga kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam Ops Didik Dan Tegur yang dijalankan pada Rabu di Anjung Kinabalu dan Anjung Senja.

Dua kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja 1966 atas kesalahan menjaja tanpa kebenaran, manakala satu lagi kompaun dikeluarkan di bawah UUK Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 kerana kesalahan membuang sampah secara tidak terkawal.

Operasi yang berlangsung dari jam 7.30 malam hingga 9.30 malam itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon, melibatkan 51 anggota pelbagai jabatan.

“Selain penguatkuasaan, operasi ini turut menumpukan aspek pendidikan dan teguran kepada pengusaha gerai berkaitan kebersihan, penyediaan makanan yang selamat, layanan pelanggan serta keperluan untuk memaparkan tanda harga dengan jelas.

“DBKK komited untuk memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selamat dan harmoni.

“Pemeriksaan dan pemantauan berkala akan diteruskan, dan semua pengusaha diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam sebuah kenyataan.