Advertisement

Albert Tei dan Lapan ADUN Sabah Akan Dipanggil Semula SPRM – Sabah News

KOTA KINABALU: Albert Tei akan dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan beberapa dokumen penting yang dikehendaki dalam siasatan berhubung kes video dakwaan skandal rasuah lesen lombong mineral yang turut membabitkan lapan ADUN Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lapan ADUN terbabit juga akan dipanggil semula bagi membantu siasatan berhubung video tersebut. 

“Albert Tei akan dipanggil balik untuk memberi beberapa dokumen lagi yang kita kehendaki untuk melihat kepada apa yang beliau katakan sebelum ini ataupun dakwaan beliau.

“Kita juga memanggil lapan ADUN ini untuk memperjelaskan walaupun belum ada lagi pengesahan daripada bahagian forensik namun demikian terus terang saya menyatakan kesemua lapan video ini akan dimainkan dihadapan mereka untuk mereka beri penjelasan apa yang sebenarnya berlaku dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah di sini pada Khamis.

Sementara itu, Azam turut memaklumkan bahawa sepuluh video yang dikemukakan kepada pihaknya berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah dan Speaker DUN Sabah sedang dianalisis.

Katanya, penelitian yang rapi perlu dilakukan sebagaimana lapan video yang disiarkan oleh Malaysiakini sebelum ini.