KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur dan utiliti merupakan pemboleh daya utama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman berkata, untuk itu, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 sepanjang 706 km akan disegerakan dan ianya dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2029.
Pengurusan dan perkhidmatan bekalan air bagi memastikan rakyat Sabah terus menikmati akses air terawat yang berterusan juga akan diperkasakan katanya.
“Kerajaan optimis untuk memenuhi permintaan bekalan air bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Untuk itu, tiga strategi utama dilaksanakan iaitu meningkatkan pengeluaran air terawat, melaksanakan projek-projek bekalan air serta memperluas liputan bekalan air di luar bandar.
“Kerajaan juga akan membangunkan Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang diintegrasikan dengan Projek Hidroelektrik Upper Padas (UPHEP) di Tenom untuk memenuhi keperluan jangka panjang. Projek ini berpotensi menjadi sumber bekalan air jangka panjang bagi kawasan Pantai Barat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan dasarnya pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-16 di sini pada Khamis.
Sementara itu, bagi pengurusan air sisa kumbahan, beliau berkata, Kerajaan akan menambahbaik infrastruktur sedia ada dan penyediaan perkhidmatan di kawasan yang belum diliputi. Selain itu, program pendidikan mengenai pemeliharaan sistem
pembetungan juga akan dipergiat.
Dalam pada itu, bagi meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah katanya, pelbagai langkah mitigasi interim dan fast track telah diambil.
“Antaranya seperti menaik taraf Pencawang Masuk Utama (PMU) Jalan Dam di Lahad Datu dan pemasangan Capacitor Bank di Tawau yang dijangka siap pada tahun ini.
“Dengan pelaksanaan langkah interim dan projekprojek fast track ini, jidar (margin) simpanan penjanaan negeri yang sebelum ini kurang 13 daripada 10 peratus, dijangka meningkat kepada 29 peratus pada tahun ini,” jelasnya.