KOTA KINABALU: Media memainkan peranan yang amat penting terutamanya dalam menyampaikan maklumat tepat, sahih dan berintegriti kepada segenap lapisan masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri DatUK Seri Azam Baki berkata, dalam konteks pencegahan rasuah, media berperanan bukan sahaja untuk memaklum dan mengumumkan, malah menyoal serta mengkritik secara membina sebarang polisi dan isu yang memberi kesan kepada masyarakat.
“Saya ingin mengingatkan media untuk memastikan setiap maklumat disampaikan adalah sahih dan diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai, bukan sekadar memetik daripada media sosial ataupun pihak-pihak berkepentingan politik yang sekadar memberi pandangan tanpa merujuk kepada fakta yang betul.
“Justeru, saya menyeru agar rakan-rakan media terus berpegang kepada etika kewartawanan yang berintegriti berdasarkan prinsip tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 44 pengamal media Sabah yang diadakan di Hotel Hyatt Regency, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah di sini, hari ini.
Tan Sri Azam turut menyeru agar media Sabah terus memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan dengan mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah sekali gus bersama-sama SPRM membantu mencegah rasuah.
Dalam program ini, turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Pengurus Besar, Divisyen NCA, Media Prima Berhad (MPB) selaku Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tuan Kamaruddin Mape mengenai “Peranan Media Dalam Membantu SPRM” dan sesi ceramah bertajuk “Perangi Rasuah Tanggungjawab Bersama” oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, PKPj Alexander S Kunghi.
Terdahulu, Tan Sri Azam hadir di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah untuk sesi temubual di rancangan Selamat Pagi Malaysia dan stesen radio, SABAHfm.
Turut diadakan Sesi Dialog Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Media Sabah dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Tuan Syaheddrul R Joddari yang bertindak sebagai moderator manakala panel terdiri daripada Tan Sri Azam; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, P/PKPj Hisyam Mohd Yusoff dan Penasihat Integriti Menteri, Jabatan Ketua Menteri Sabah, KPKPj Awang Samsul Baharam Bungso.
Hadir sama Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar dan Timbalan Pengarah BKS SPRM, Tuan Jules Rahman Ong.