Advertisement

Tambah Penolong Pegawai Perubatan Pastikan Pusat Jantung Sabah Lancar – Sabah News

KOTA KINABALU: “Jika kita inginkan Pusat Jantung Sabah beroperasi dengan sempurna, perjawatan Penolong Pegawai Perubatan ini perlulah segera ditambah,” tegas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Derma Darah dan Pelancaran Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) semalam.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun kesemua 87 jawatan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di QEH II telah diisi, jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menyokong operasi pusat rawatan jantung utama negeri itu, terutama dengan beban kerja yang semakin meningkat.

“Ketika ini, hospital berkenaan memiliki 400 katil rasmi dan 276 katil operasi yang memerlukan sokongan tenaga kerja yang mantap dan mencukupi.

“Penolong Pegawai Perubatan di QEH II bukan sahaja membantu dalam rawatan asas, tetapi mereka juga terlibat dalam prosedur kepakaran yang amat kompleks seperti Transthoracic Echocardiogram (TTE), Exercise Stress Test Echocardiogram, Pacemaker Interrogation, serta Electrophysiological Studies (EPS).

“Peranan mereka amat kritikal dalam memastikan kelancaran perkhidmatan kardiologi,” katanya.

James turut menegaskan bahawa peningkatan perjawatan PPP perlu disegerakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia demi memastikan perkhidmatan kepakaran jantung dapat dioptimumkan untuk rakyat Sabah.

Tambahan itu juga penting dalam memperkukuh fungsi QEH II sebagai Pusat Jantung Sabah yang menjadi rujukan utama di Borneo.

“Hospital ini bukan sahaja berkhidmat kepada penduduk sekitar Kota Kinabalu, malah menerima pesakit dari seluruh Sabah termasuk dari kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Tanpa tenaga kerja yang cukup, kualiti rawatan mungkin akan terjejas,” ujarnya lagi.