KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mempersoalkan kewajaran bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengeluarkan sokongan dalam bentuk nota bertulis “sukacita dapat diluluskan” pada surat permohonan pengenalan diri MyKAD dan MyKAS yang tular baru-baru ini.
Naib Presiden PBS, Arthur Sen berkata, pemimpin Parti Warisan termasuk Shafie dilihat cuba mengalihkan perhatian daripada isu utama dengan mendakwa kelulusan permohonan itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Memang benar kuasa menilai dan meluluskan permohonan terletak di bawah JPN dan KDN. Namun persoalannya, adakah wajar seorang Ketua Menteri mengeluarkan nota seperti itu?
“Shafie bukan sekadar seorang wakil rakyat biasa ketika itu, sebaliknya beliau memegang jawatan Ketua Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, Shafie menjelaskan bahawa beliau sekadar membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah dokumentasi dan tidak sampai hati menolak permintaan mereka.
Dalam pada itu, Arthur turut mempersoalkan peranan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking yang pernah mewakili masyarakat KDMR dalam Kabinet Persekutuan, sama ada beliau mengetahui tindakan Presidennya itu.
“Sebagai pemimpin kanan Warisan, adakah Darell mengetahui bahawa Shafie sering kali menyokong permohonan MyKAD dan MyKAS dengan nota ‘sukacita dapat diluluskan’ yang secara tidak langsung mencampuri bidang kuasa JPN dan KDN?” soalnya.
Isu ini terus menjadi perhatian ramai, khususnya berkaitan keselamatan dan pengurusan dokumen pengenalan diri di Sabah.