TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun diberkas polis selepas disyaki mencederakan rakannya menggunakan parang dalam kejadian di Merotai Besar, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku ketika suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Mangsa berusia 49 tahun cedera di tangan, lengan kanan, belakang badan serta beberapa bahagian lain selepas ditetak oleh suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, insiden itu berlaku selepas suspek menghubungi mangsa kononnya mahu berjumpa untuk menyelesaikan satu urusan.
“Namun, sebaik tiba di lokasi, mangsa diserang dengan parang oleh suspek yang ketika itu berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan berhampiran dan dilaporkan mengalami trauma akibat kejadian.
Polis dari Balai Polis Bombalai menahan suspek tidak lama selepas kejadian.