Advertisement

Kiulu Berpotensi Jadi Hab Sukan dan Pelancongan – Joniston – Sabah News

TUARAN: Kiulu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab sukan dan pelancongan lasak, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Menurut beliau, persatuan sukan komuniti digalakkan untuk menganjurkan acara sukan dan aktiviti lasak seperti maraton dan larian merentas hutan.

“Sebagai wakil rakyat Kiulu, saya akan memberi sokongan penuh kepada penganjuran acara sebegini kerana ia mempunyai potensi yang tinggi,” katanya semasa pelancaran Kelab Olahraga Malba di Kampung Malangang Baru, pada Sabtu.

Beliau berkata, Kiulu sebelum ini pernah menganjurkan Cabaran 4M, iaitu acara ketahanan fizikal yang cukup digemari oleh peminat sukan lasak.

Kini, Kiulu menjadi tuan rumah acara tahunan Borneo Ultra Marathon yang menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

“Ini membuktikan Kiulu mempunyai semua ciri untuk menjadi hab sukan dan pelancongan lasak bertaraf antarabangsa,” katanya sambil menambah bahawa sub-daerah tersebut kini turut dikenali sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) yang popular.

Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, turut diberi taklimat oleh Presiden Kelab Olahraga Malba, Jossie Langkait dan Pesuruhjaya Sukan Wilayah Sabah, Sempini Langiton mengenai Kejohanan Olahraga Terbuka Kiulu 2025 yang akan diadakan buat julung kalinya.