Advertisement

Kos Bahan Binaan Naik, Harga Rumah di Sabah Bakal Melonjak – Sabah News

KOTA KINABALU: Harga pasaran hartatanah di Sabah dijangka naik 10 hingga 15 peratus pada suku kedua tahun ini berikutan pemaju bakal mengimbangi peningkatan kos bahan binaan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, trand inflasi harga bahan binaan seperti simen, batu bata, baja dan kayu menyaksikan lonjakan harga yang ketara sejak Januari lalu.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) awal tahun ini menunjukan lonjakan harga empat bahan binan seperti simen 15 peratus, baja 20 peratus, batu bata 12 peratus dan kayu 10 peratus.

Menurutnya, pasaran hartatanah yang sedia mahal di Sabah dijangka mengalami peningkatan tahun ini ekoran sentimen kenaikan baharu bahan mentah, selain itu pengaruh penyempitan rantaian global.

Masiung berkata, kos pengangkutan dan logistik melibatkan proses penukaran kapal dagang di Pelabuhan Klang ke Sabah tutut menyumbang kepada kenaikan bahan binaan.

Wakil Rakyat Kuamut itu berkata, dalam isu ini perlu ada tindakan bersama antara kerajaan, pemaju, pembekal dan pembeli.

“Contohnya, subsidi kerajaan untuk bahan tertentu yang mengalami kenaikan. Mungkin dapat membantu menstabilkan harga bahan dalam jangka masa pendek.

“Kerajaan boleh menetapkan harga siling bahan binaan terbabit. Tetapi berisiko kepada rumah dan bangunan komersial yang didirikan kerana pemaju terpaksa mengurangkan skop projek untuk kekal dalam batas bajet yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Masiung, jika keadaan ini berlaku ia boleh menimbulkan masalah kualiti pembinan dan keselamatan bangunan yang terbabit.

Menurut beliau, tiga faktor utama penyebab kenaikan bahan binaan, antaranya penyempitan rantaian global dan peningkatan permintaan projek mega selain kenaikan kos tenaga buruh yang memainkan peranan kritikal.

Masiung mengingatkan kerajaan supaya tidak mengenakan cukai baru kepada pemaju industri pembinaan kerana ia boleh menyumbang kenaikan kos harga rumah dan bangunan komersial.