Advertisement

SICC Bakal Gegar Dengan Konsert Solo Stacy “Aku Stacy Menggegar Kota U” – Sabah News

KOTA KINABALU: Penyanyi kelahiran Sabah yang juga bintang tersohor tanah air, Stacy, bakal menggegarkan pentas Sabah International Convention Centre (SICC) menerusi konsert solo mega sulungnya di negeri asal bertajuk “Aku Stacy Menggegar Kota U” pada 21 Jun ini.

Pengumuman konsert anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile tersebut dibuat secara rasmi dalam satu sidang media eksklusif yang berlangsung di luar bangunan SICC pada Jumaat.

Acara itu turut menampilkan persembahan akustik tiga buah lagu daripada Stacy, iaitu “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat”.

Stacy menjelaskan bahawa konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah produksi berskala besar yang menzahirkan sepenuhnya kreativiti dan dedikasinya terhadap seni pentas.

Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya terlibat sepenuhnya dalam konsep konsert, susunan muzik, koreografi serta pemilihan pasukan kreatif, menjadikan konsert ini antara yang paling autentik dalam kerjaya seninya.

Stacy turut menyatakan bahawa konsert ini adalah hadiah istimewa buat peminat di Sabah, dan beliau mahu menjadikannya satu pengalaman yang penuh warna dan bertenaga, termasuk membawa penari dari Semenanjung dan digabungkan dengan penari tempatan.

Menambah kemeriahan acara, konsert ini juga bakal menyaksikan kemunculan istimewa suami Stacy, penyanyi dan komposer Akim Ahmad, menerusi segmen duet romantik yang pastinya dinanti-nantikan peminat.

Akim yang turut hadir pada sidang media tersebut menyatakan kegembiraannya dengan cuaca baik yang mengiringi majlis, memandangkan acara diadakan di luar bangunan.

Konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” akan membawa penonton menelusuri perjalanan muzik Stacy sejak era “Aku Stacy” sehinggalah ke lagu terkini seperti “Menyala”.

Setiap lagu akan diberi susunan muzik baharu dan diiringi dengan koreografi segar serta visual pentas bertaraf antarabangsa. Stacy menegaskan bahawa setiap lagu mempunyai ceritanya yang tersendiri dan beliau berharap agar para penonton dapat pulang dengan rasa terhibur dan terinspirasi.

Tiket untuk konsert ini telah mula dijual sejak 10 April menerusi laman sesawang www.ticket2u.com, dengan pelbagai kategori harga mengikut jenis tempat duduk dan zon.

Orang ramai yang ingin mengikuti perkembangan terkini konsert disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy dan saluran rasmi U Mobile bagi mendapatkan maklumat lanjut serta kandungan eksklusif di sebalik tabir.