Advertisement

PKR Sabah Mahu BN Jernihkan Hubungan Semula Dengan GRS – Sabah News

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengambil maklum kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan keputusan untuk berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) selepas pemukiman UMNO Sabah baru-baru ini.

“Bagi kami ini keputusan yang baik dari BN dalam menghadapi PRN17 sebagai rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan,” kata Ketua Penerangan PKR Sabah merangkap Timbalan Ketua Penerangan Pusat, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, seperti sedia maklum KEADILAN Sabah dan PH terbuka untuk berkerjasama dengan rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN17.

“Sebelum ini juga telah diadakan sekali pertemuan tidak rasmi antara PH Sabah dan BN Sabah. Namun biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa ada perselisihan dengan parti yang lain dalam kerajaan Perpaduan.

“Pada pandangan kami BN perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika Pilihanraya berlangsung.

“BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha kita membangunkan semula negeri ini. Dalam masa sama ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri,” jelasnya.

Tambah Razeef, apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri serta kebajikan rakyat.

“KEADILAN Sabah dengan autonomi yang ada akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH untuk menentukan rakan kerjasama Strategik yang akan memberi ruang yang baik dalam agenda reformasi di negeri ini selaras dengan Gagasan Malaysia Madani,” jelasnya.