Advertisement

Tabung Pendidikan Negeri Sabah Sasar Bantu Lebih 10,000 Penerima Golongan B40 Tahun Ini – Sabah News

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 penerima golongan B40, termasuk mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sampai ke peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, pada tahun lalu kira-kira 8,000 anak Sabah yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara telah dibantu di bawah TPNS membabitkan peruntukan sebanyak RM8 juta.

“Selain TPNS, Kumpulan Yayasan Sabah turut membangunkan modal insan menerusi dua institusi pendidikan yang diwujudkan, iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (atau ringkasnya KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

“Dua institusi ini berfungsi sebagai papan loncatan atau platform bagi anak-anak tempatan negeri Sabah untuk menimba ilmu dan menjadi insan gemilang yang bersinar terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Tambah beliau, UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran yang relevan kepada kemajuan sosioekonomi dan budaya Sabah serta Malaysia.

“Sebanyak 14 program ditawarkan di bawah empat fakulti; Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif, Fakulti Sains dan Kelestarian Semula Jadi dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.

“Ia juga turut disokong oleh Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Institut Kajian Borneo (IBS), Pusat Pembangunan Bahasa dan Generik (CLGD), Kilang Pengajaran dan Pembelajaran dan Galeri Inspirasi Seni Alam (NIAG),” jelasnya.

Jelasnya lagi, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah.

“Jumlah ini meningkat kepada lebih 1,000 pelajar aktif pada tahun 2024 bagi kursus ijazah, diploma dan sijil seterusnya menjadikannya jumlah tertinggi sejak penubuhannya.

“Paling menarik, UCSF juga telah berjaya mencapai kategori Kompetitif dalam Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (atau ringkasnya SETARA),” ujarnya.

Manakala KTYS jelasnya, ditubuhkan dengan objektif untuk menyediakan akses pendidikan berteraskan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi; melahirkan graduan yang inklusif serta berketerampilan dan membentuk sistem tadbir urus yang berkualiti, cekap dan berintegriti.