KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM285 juta bagi tujuan pelaksanaan kerja pembaikan empat jalan utama di negeri ini.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, empat jalan utama tersebut termasuklah Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon Pitas dan Jalan Sapulut Kalabakan.
“Peruntukan khas yang diluluskan pada Januari lepas itu akan dimanfaatkan untuk membaiki empat jalan utama terbabit dengan menggunakan kaedah CIPR (Cold in-place pavement
recycling),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.
Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, kementeriannya menyedari tentang pentingnya penyediaan infrastruktur jalanraya yang baik dan selamat.
“Sepertimana saya jelaskan dalam sesi soalan lisan pada hari Isnin yang lepas, kebanyakan jalan di negeri ini telah melepasi hayat reka bentuk dan tidak sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin, sebaliknya, ia perlu dinaik taraf secara menyeluruh,” jelasnya.