Advertisement

Tiada Isu Syarikat Tarik Diri Dalam Projek Pembinaan Kilang Simen di Tongod – Masiung

KOTA KINABALU: Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah memaklumkan bahawa tiada syarikat yang tarik diri, dalam pelaburan membina kilang simen di Tongod seperti yang didakwa sebelum ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima dari pihak Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS) katanya, mengesahkan bahawa semua pihak yang terlibat komited, terhadap perlaksanaan projek yang dirancang selaras dengan perancangan pelaburan dan kerjasama yang telah dipersetujui.

“Pada masa kini pihak BCS, sedang menunggu kelulusan laporan penilaian Penuh Alam sekitar AIE, sebelum pembinaan sepenuhnya dijalankan. Walau bagaimanapun, kerja tanah ditapak projek telah pun diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar.

“Pada masa sama Sinoma Industeri Engineering Malaysia Sdn Bhd, syarikat pengeluar simen terbesar didunia, akan menjalankan Pembinaan kilang ini secara tertib.

“Sebagai makluman lesen MML kilang , telah pun diluluskan oleh pihak MITI pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam.

Sementara itu, mengenai dakwaan terdapat aktiviti pengambilan kayu balak dari kawasan tapak pembangunan kilang bersepadu klinker dan simen, yang terletak di penangah tongod oleh syarikat BCS adalah tidak benar, jelas Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu.

“Dimaklumkan bahawa tapak kilang seluas lebih kurang 200 ekar atau 81 hektar, yang dimaksudkan adalah yang dahulunya merupakan kawasan konsesi Rakyat Berjaya Sdn Bhd, dengan kerjasama syarikat Indah Serimas Sdn Bhd berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Jabatan Hutan Negeri Sabah (JPNS).

“Menerusi makluman yang dikemukakan JPNS juga, tapak ini merupakan kawasan yang pernah digunakan sebagai aktiviti ‘stamping’ oleh syarikat Indah Serimas Sdn Bhd yang mana pada masa ini, terdapat lagi stok Balak lama yang belum lagi dikeluarkan kerana masih dalam proses pembayaran cukai.

“Operasi pembalakan aktif di kawasan Tongod telah pun diberhentikan sepenuhnya pada tahun 2023 dan tiada lagi sebarang pembalakan baru sejak dari itu,” jelasnya.

Tegasnya lagi, laporan yang diterima dari JPNS tidak terdapat sebarang aktiviti pembalakan, ataupun penebangan baharu, kecuali untuk menguruskan balak lama tersebut.