KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengkaji dan meneliti penyelesaian terbaik penutupan jalan susur di Lorong Seroja 1.
DBKK dalam satu kenyataan media hari ini berkata, setelah mengambil kira aduan dan maklum balas yang diterima daripada orang awam, pihaknya akan membuka penghadang jalan (bollard) yang telah dipasang di jalan susur berkenaan, mulai 20 April 2025 (Ahad).
“Keputusan ini dicapai secara sebulat suara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Trafik – Perbincangan Isu Pemasangan Penghadang di Simpang Jalan Seroja 1 ke Lorong Bunga Melur, Taman Fortuna yang diadakan pada 18 April 2025,” jelasnya.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil- wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Bandaraya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Trafik.
Sehubungan itu, DBKK akan mengadakan Lawatan Teknikal Bersama Agensi JKR dan PDRM ke lokasi berkenaan dalam masa terdekat ini.
Lawatan ini bertujuan untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan aspek keselamatan, kelancaran trafik dan laluan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.
Untuk sementara waktu, pengguna jalan raya di sekitar kawasan ini dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan memandu secara berhemat ketika menggunakan jalan susur ini bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
DBKK menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang komen atau kenyataan berbaur negatif berkaitan isu ini sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan penduduk setempat.
Terdahulu, DBKK telah menutup jalan susur Lorong Seroja 1 dengan memasang penghadang jalan bagi mengelakkan ia digunakan sebagai jalan pintas.
Tindakan ini diambil selepas beberapa aduan diterima daripada orang awam mengenai kejadian nyaris kemalangan yang berlaku di jalan susur berkenaan.
Tambahan lagi, secara teknikalnya serta mengikut rekod pelan yang ada, tiada jalan keluar yang dibenarkan di kawasan berkenaan.