PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang dalam satu serbuan pada Khamis lalu di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan lima paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 54.23 gram dengan nilai anggaran RM5,500.
“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, beserta minimum 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
“Polis menyeru orang ramai agar tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga pihak berkuasa dalam membanteras gejala tersebut,” katanya.