KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid telah membuat laporan polis terhadap artikel yang disiarkan oleh portal berita Sabahkini2 bertajuk “Kerajaan Sabah Digesa Tamatkan CEO ECoS, Luluskan IPP Libaran Milik Besan Muhyiddin Tanpa Restu Kabinet” pada 17 April lalu.
Artikel berkenaan didakwa mengandungi pelbagai tuduhan palsu terhadap beliau, termasuk dakwaan bahawa beliau meluluskan projek Independent Power Producer (IPP) Libaran milik besan Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa kelulusan Kabinet Negeri.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan tidak berasas itu. Semua tindakan saya adalah berlandaskan undang-undang, dasar dan keputusan rasmi Majlis Tenaga Sabah yang dimandatkan oleh Kabinet Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Nasser menyifatkan artikel itu sebagai bermotif jahat dan berniat mencemar nama baik beliau serta menjatuhkan imej ECoS sebagai badan pengawal selia yang berwibawa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan artikel tersebut yang boleh mengelirukan orang awam dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap tadbir urus tenaga di Sabah.
Laporan polis itu dibuat bagi meminta siasatan terhadap penulis artikel, pengendali Sabahkini2, serta pihak yang menyebarkan maklumat palsu tersebut. Beliau turut menggesa agar tindakan undang-undang diambil di bawah Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Tindakan sivil juga akan dipertimbang bagi menuntut ganti rugi akibat kerosakan reputasi.
“Saya percaya kepada prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang, dan yakin kebenaran akan terbukti demi menjaga integriti institusi ini,” katanya lagi.
Beliau menasihati orang ramai untuk mendapatkan maklumat rasmi hanya melalui saluran sah agar tidak terpengaruh dengan laporan tidak tepat.