Advertisement

Kanak-Kanak Lelaki Autisme 5 Tahun Hilang di Tamparuli – Sabah News

TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun dilaporkan hilang di belakang Pejabat Daerah Tamparuli pada petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan itu dari pihak PDRM pada jam 1.52 petang.

Kanak-kanak autisme yang hilang itu dikenali sebagai Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf.

Katanya, seramai 10 anggota dari BBP Tuaran dibantu lapan lagi anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu, Lintas dan Putatan serta Dua unit K9 (anjing pengesan) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.

“Pasukan bomba bersama anggota dari agensi PDRM dan APM membuat pencarian di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan bantuan anjing pengesan K9.

“Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama, pasukan penyelamat mencari dalam radius pencarian 300 meter dari mangsa dilaporkan hilang. 

“Operasi kemudian disambung semula pada jam 8.50 malam oleh pasukan Bomba dan anggota APM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimana pun, mangsa masih belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.