PENAMPANG: Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk meningkatkan kualiti jalan raya persekutuan melalui projek menaik taraf Jalan Donggongon – Tambunan dari Persimpangan ITCC ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting, Penampang, Sabah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat Sabah.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan-2, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) ini dengan kos keseluruhan projek bernilai RM299.76 juta, telah dimulakan pada 25 Oktober 2022 dan dijangka siap pada Oktober 2026.
“Setakat ini, kemajuan projek mencatatkan pencapaian sebanyak 13.06%. Projek ini akan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan (Level of Service, LOS) daripada LOS E kepada sekurang-kurangnya ke LOS C semasa waktu puncak.
“Ini selaras dengan 2 Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu KESEJAHTERAAN dan KEMAMPANAN yang memfokuskan kepada meningkatkan keterhubungan, mobiliti dan aksesibiliti rakyat melalui jaringan jalan raya persekutuan yang berkualiti, selamat dan selesa.
“Projek naik taraf ini bakal menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit dan membantu menyuraikan aliran trafik yang sesak melalui peningkatan sistem perhubungan utama dari Kota Kinabalu ke Tambunan serta menyediakan laluan alternatif ke Papar dan Sindumin,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Ahad.
Menteri KKR itu telah meninjau kerja-kerja naik taraf jalan tersebut di sini, pada petang Ahad.
Tambah kenyataan itu lagi, skop projek ini merangkumi:
i. Menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang – Tambunan
dari ITCC ke Balai Polis Penampang daripada jalan berkembar 4 lorong kepada jalan berkembar 6 lorong sepanjang 2.5 kilometer (km);
ii. Menaik taraf jalan dari persimpangan Balai Polis ke persimpangan Jalan Datuk
Panglima Banting daripada jalan tunggal 2 lorong kepada jalan berkembar 4 lorong sepanjang 1.6 km;
iii. Menaik taraf Jalan Penampang Lama daripada jalan berkembar 4 lorong kepada jalan berkembar 6 lorong sepanjang 0.8 km;
iv. Membina sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah sepanjang 580 meter, termasuk dua kemudahan khas pusingan U di bawah struktur bertingkat tersebut;
v. Membina dua jambatan konkrit pratuang di Sungai Kibabaig sepanjang 30 meter;
vi. Membina tiga pusingan U bermeter di dua lokasi strategik; serta
vii. Membina satu jejantas pejalan kaki di satu lokasi yang dikenal pasti.
Tambahnya, KKR berharap pihak pengurus projek, JKR Sabah dan kontraktor terlibat berganding bahu mempertajam aspek pengurusan projek dalam meningkatkan prestasi kerja agar projek ini dapat disiapkan mengikut spesifikasi kualiti dan kos selari dengan Aspirasi Program MYJalan dan Amanat Menteri Kerja Raya Tahun 2025 ke arah Sifar Projek Sakit.