SANDAKAN: Dua individu cedera selepas melecur di bahagian tangan dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan 21 rumah tidak kekal dan sebuah setor penyimpanan di Kg Batu Putih, Batu 7 pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, kebakaran dilaporkan berlaku sekitar 10.40 pagi, melibatkan kawasan seluas tiga ekar.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS di lokasi sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan tiba di lokasi pada 10.58 pagi dengan kekuatan 25 anggota dan berjaya mengawal kebakaran pada 11.47 pagi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.14 petang.
Pemadaman dijalankan menggunakan 1600 kaki hos, tiga aliran dan enam pancutan air, disokong oleh sumber air dari tangki jentera dan sumber terbuka.