KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berharap Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) terus mengekalkan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan sebagai penyedia rumah mampu milik serta pembangunan bandar baharu di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini penting bagi memastikan mandat yang diamanahkan Kerajaan dapat diterjemahkan dengan berkesan demi manfaat rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan “Meriah Lain Macam” Raya LPPB 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama beliau hadir ke majlis sambutan Hari Raya anjuran LPPB sejak dilantik menerajui kementerian berkenaan.
“Sebagai Menteri KKTP, saya ingin menyampaikan hasrat dan harapan agar warga kerja LPPB terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengekalkan kecemerlangan dalam penyampaian mandat yang telah diamanahkan oleh Kerajaan.
“LPPB mempunyai peranan penting sebagai penyedia rumah-rumah kos rendah mampu milik dan dalam pembangunan bandar-bandar baharu yang berkualiti,” katanya.
Dr. Joachim turut menyuarakan harapan agar hubungan strategik antara KKTP dan LPPB terus diperkukuhkan dalam usaha memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik.
“Sejajar dengan harapan ini juga, diharapkan kerjasama dua hala di antara KKTP dan LPPB akan terus terjalin erat, agar penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan proaktif.
“Usaha ini juga harus selari dengan pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan warga kerja LPPB agar sentiasa berhati-hati dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dalam era dunia digital yang serba pantas hari ini.
“Jika boleh, suka saya ingatkan, dalam keadaan dunia yang dihujung jari, yang mana maklumat dan sesuatu peristiwa boleh disebarkan dengan sangat pantas, maka berhati-hatilah dalam menjalankan tugas.
“Laksanakan tugas dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab supaya setiap tindakan dan keputusan memberi manfaat dan bukannya sebaliknya,” katanya.
Dr. Joachim berkata, semangat perpaduan, kekeluargaan dan keharmonian dalam organisasi juga menjadi kekuatan penting yang perlu dipertahankan bagi memastikan agensi itu kekal berdaya saing dan mampan.
Majlis sambutan Hari Raya itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan berkonsepkan semangat berpasukan seperti ‘Meriah Raya Kelap-Kelip’ dan ‘Paling Meriah Raya Bercucul’.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah; Timbalan Pengerusi LPPB, Datuk Jamaliah Antalip dan Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping; Ahli-ahli Lembaga Pengarah LPPB dan Pengerusi Lembaga Pengarah Anak Syarikat LPPB.