KENINGAU: Seorang lelaki maut manakala seorang pelajar kolej cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 18 Kabulu, Jalan Sook-Keningau kira-kira jam 6.00 pagi pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa yang maut berusia 44 tahun dan merupakan pemandu sebuah Proton Iswara. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lagi mangsa, pelajar kolej berusia 22 tahun yang memandu Proton Saga, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Keningau.
“Siasatan awal mendapati pelajar berkenaan dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Sook.
“Ketika melalui laluan berselekoh, kenderaannya dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.