Advertisement

Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Tenggiling Di Kudat – Sabah News

KUDAT: Cubaan licik sindiket menyeludup makanan eksotik yang melibatkan spesies haiwan terancam berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam satu operasi khas di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil risikan Unit Perisikan Maritim Malaysia yang mengesan kegiatan mencurigakan di kawasan perairan Selat Malawali kira-kira pukul 2 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, Bot Peronda KILAT 48 yang sedang menjalankan operasi khas digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap pada jarak kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Tanjung Layang-layang, Pitas.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada individu berada di atas bot terbabit, namun penggeledahan lanjut menemukan barangan yang mengejutkan,” katanya.

Antara yang ditemui adalah 20 kotak polisterin berisi Kima beku seberat kira-kira 500 kilogram, lapan guni Kima kering seberat lebih 200 kilogram, serta lima kotak polisterin mengandungi Tenggiling beku dengan anggaran berat 100 kilogram.

Difahamkan, semua hasil rampasan itu dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran yang mempunyai permintaan tinggi terhadap makanan eksotik dan produk haiwan liar terlarang.

“Bot bersama muatan berharga yang dianggarkan lebih RM100 ribu itu telah ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut,” ujar Hasbullah.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Perikanan 1985 kerana melibatkan cubaan penyeludupan haiwan spesies terancam serta pengendalian hasil laut tanpa kebenaran sah.