Advertisement

MoU ECoS, MUT Langkah Besar Perkukuh Piawaian Keselamatan Peralatan Elektrik dan Gas di Sabah, Sarawak – Hajiji – Sabah News

KOTA KINABALU: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Energy Commission of Sabah (ECoS) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) merupakan langkah besar dalam memperkukuhkan piawaian keselamatan peralatan elektrik dan gas di kedua-dua negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini juga merupakan satu langkah proaktif ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.

“Kerjasama strategik ini sangat penting dan menzahirkan pengiktirafan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas serta menekankan peranan ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat memenuhi piawaian
tertinggi.

“Ianya juga menunjukkan satu lagi bidang kerjasama untuk manfaat bersama hasil pertalian erat yang sedia terjalin di antara Sabah dan Sarawak melalui kedua-dua badan berkuasa pengawalselia masing-masing.

“Saya yakin dengan termetrinya MoU ini, akan memperluaskan pasaran produk-produk yang berkualiti dan diiktiraf bagi kemudahan pengguna dan peniaga kedua-dua negeri,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pertukaran MoU diantara ECoS dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan Pelancaran Program TVET Angkat ECoS sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dan gas serta memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan barangan pengguna terutamanya barangan yang berisiko tinggi.

Katanya, dengan lambakan pelbagai barangan daripada luar negara yang masuk ke negara ini, termasuk Sabah akan memberi faedah kepada pengguna daripada segi kepelbagaian pilihan dan harga yang ditawarkan, namun aspek keselamatan barangan
perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang berkaitan.

“Sebagai kerajaan, kita komited dan serius dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, saya mahu pihak bertanggungjawab sentiasa berusaha memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan
barangan pengguna.

“Kerajaan negeri menyokong dan amat mengalu-alukan usaha yang diambil oleh ECoS bersama kerajaan Sarawak dalam aspek keselamatan peralatan elektrik dan gas di kedua-dua negeri”, tegasnya.

Hajiji optimis, penubuhan ECoS telah membuka lembaran baharu dalam pengurusan sektor tenaga di Sabah.

Katanya, dengan kuasa pengawalseliaan yang telah dimandatkan melalui lunas undang-undang, ECoS perlu terus komited untuk memastikan pembangunan sektor tenaga yang teratur dan cekap, yang akan menyokoung pembangunan ekonomi Sabah
serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.