KOTA KINABALU: Dunia Katolik berkabung atas pemergian Paus Francis I, yang mangkat pada usia 88 tahun akibat strok dan kegagalan jantung di kediamannya di Vatican, Casa Santa Marta semalam.
Pemilihan paus baharu dijangka berlangsung dalam masa terdekat dengan enam nama utama sedang disebut-sebut sebagai pengganti kepada tokoh reformis itu.
Antara nama yang mendapat perhatian ialah Cardinal Peter Erdo dari Hungary, Cardinal Pietro Parolin, Setiausaha Negara Vatican dari Itali, Cardinal Peter Turkson dari Ghana, Cardinal Luis Antonio Tagle dari Filipina, Cardinal Mario Grech dari Malta dan Cardinal Matteo Zuppi dari Itali.
Buat julung kalinya dalam sejarah Gereja Katolik, terdapat calon serius dari Asia Tenggara — Cardinal Luis Tagle dari Filipina — yang meningkatkan harapan kepada jutaan umat Katolik di rantau ini untuk melihat wakil mereka di takhta tertinggi gereja.
Selain Tagle, satu lagi nama bukan Eropah yang mendapat sorotan ialah Peter Turkson dari Ghana, mewakili benua Afrika yang menjadi antara pusat pertumbuhan Katolik paling pesat hari ini.
Kematian Paus Francis I berlaku di tengah-tengah krisis kepercayaan yang sudah lama membelenggu Gereja Katolik, terutamanya di negara-negara Barat yang semakin sekular sejak era 1970-an lagi.
Kehadiran Pope Francis, paus pertama dari Amerika Latin, pada tahun 2013 dianggap satu anjakan besar selepas 1,300 tahun dominasi Eropah dalam kepausan.
Kali terakhir paus bukan Eropah ialah Pope Gregory III dari Syria pada abad ke-8.
Kini, ramai pemerhati berpendapat bahawa jika Gereja ingin kekal relevan dan berpengaruh secara global, pilihan paus perlu mencerminkan realiti baharu: pertumbuhan pesat umat Katolik di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Walaupun Pope Francis berasal dari Argentina, beliau tetap berkulit putih. Maka, pemilihan paus dari luar Eropah dan bukan kulit putih kini menjadi simbol penting keterbukaan dan inklusiviti dalam gereja sejagat.
Namun begitu, tradisi sejarah tetap berakar kuat. Daripada 266 paus dalam sejarah Katolik, 217 berasal dari Itali.
Maka, nama seperti Cardinal Matteo Zuppi dari Itali kekal sebagai calon paling realistik. Beliau dikenali sebagai tokoh moderat yang mesra reformasi, namun masih berakar dalam tradisi gereja.
Sebelum ini, gereja menyaksikan kepimpinan dari Poland melalui Pope John Paul II, dari Jerman melalui Pope Benedict XVI, dan dari Argentina melalui Pope Francis I — satu fenomena baharu yang menunjukkan Vatican mula membuka pintu kepada dunia luar.
Tetapi Itali, seperti kebanyakan negara Eropah lain, sedang berdepan krisis sekularisme, dengan ramai rakyatnya menjauhkan diri daripada kehidupan beragama.
Kini dunia menanti — adakah Gereja Katolik akan memilih untuk meneruskan warisan lama, atau membuka lembaran baharu dengan memilih paus dari luar Eropah dan bukan kulit putih? Semua mata kini tertumpu ke Vatican.