Advertisement

Kanak-Kanak Autisme Hilang Ditemui Meninggal Dunia Di Tamparuli – Sabah News

TAMPARULI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu di Kg Bahagia II, Tamparuli, ditemui meninggal dunia tengah hari tadi.

Mangsa, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf, yang merupakan kanak-kanak autisme, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 12.20 tengah hari dalam keadaan tersangkut di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurut Laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi SAR dimulakan sejak 20 April selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis.

“Usaha pencarian melibatkan pelbagai agensi termasuk BBP Tuaran, Unit K9, Unit STORM, Unit PPDA, serta bantuan daripada PDRM, APM, dan orang awam.

“Pencarian hari kelima hari ini menggunakan kaedah menyeluruh di darat dan sungai, termasuk bantuan anjing pengesan serta teknik water rafting yang akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.15 petang,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.