Advertisement

Pemandu Hilux Tular Memotong Secara Merbahaya, Digesa Serah Diri ke Balai Polis Lahad Datu – Sabah News

LAHAD DATU: Pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih dengan nombor pendaftaran SD8929F yang sebelum ini tular memotong secara merbahaya digesa untuk menyerahkan diri ke Balai Polis Lahad Datu bagi tujuan siasatan.

Toyota Hilux putih yang dimiliki individu bernama Basri Umar tersebut merupakan antara tiga kenderaan yang tular di media sosial telah memotong secara merbahaya di daerah ini baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, berhubung dengan kes itu, kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 42(1) 1987 dan kesalahan ini boleh ditangkap.

“Pihak polis setakat ini telah mengesahkan dua orang individu dan dua buah kenderaan suspek yang terlibat telah tampil ke Balai Polis Lahad Datu untuk membantu siasatan.

“Walau bagaimanapun, usaha mengesan sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kes ini masih diteruskan yang mana Basri Umar pemilik Toyota Hilux putih ini beralamat di Perumahan Baiduri, Felda Sahabat 7, 91150 Lahad Datu.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan kepada suspek untuk serah diri ke IPD Lahad Datu dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Selasa.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak polis juga berbesar hati sekiranya terdapat orang awam yang mengenali suspek bagi memaklumkan kepada suspek untuk tampil.