KOTA KINABALU: Dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan GRS-PH Plus gagal mengurus kewangan negeri kerana peningkatan pinjaman persekutuan adalah tidak berasas dan hanya bersifat persepsi politik.
Aksyah Nasrah, mantan Timbalan Ketua BPN BERSATU/PN Sabah yang kini menyokong GRS, berkata dakwaan sebegitu menunjukkan “tahap ceteknya pengetahuan ekonomi pembangkang.”
“Peningkatan pinjaman bukan bukti kerajaan gagal. Ia adalah pinjaman baik (good debt) seperti meminjam untuk bina rumah. Ia pelaburan demi rakyat Sabah, bukan pembaziran,” katanya.
Menurut beliau, pinjaman tersebut digunakan bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, bukan untuk tujuan bersifat politik seperti yang dituduh.
“Kita ada aliran tunai kukuh dan hasil negeri yang meningkat. Ekonomi rumahtangga pun kalau ada hutang tapi pendapatan stabil, ia tetap sihat. Ini logik mudah yang pembangkang pun tak faham,” tambahnya.
Beliau juga menyindir pembangkang yang sering membangkitkan isu pinjaman walaupun ketika mereka memerintah, Sabah mengalami kejatuhan ekonomi dan gagal melaksanakan projek pembangunan.
“Waktu mereka perintah, negeri diurus seperti tikus membaiki labu. Bila kita jana hasil berbillion, mereka pula sakit hati. Kalau benar mereka hebat, kenapa ekonomi kita dulu merudum?”
Katanya lagi, audit tahunan serta pengiktirafan terhadap Sabah sebagai antara negeri terbaik dalam tatakelola kewangan adalah bukti jelas integriti pentadbiran kini.
“Rakyat Sabah perlu tahu, pinjaman ini ditawarkan kerana keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan kita.
“Kalau ekonomi lemah, tiada siapa nak beri pinjaman. Ini bukti kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat harus bijak menilai dan tidak terperangkap dalam retorik pembangkang yang hanya tahu menyerang tetapi gagal menawarkan penyelesaian.