KOTA KINABALU: Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SAREC) 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama, inovasi dan dasar strategik ke arah masa depan tenaga mampan negeri ini.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, Sabah memiliki potensi besar dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan hidro.
Potensi ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga, malah mengurangkan jejak karbon.
Namun, katanya, peralihan tenaga memerlukan pelaburan besar, dasar inovatif dan kerjasama pelbagai sektor, sekali gus menuntut peranan aktif kerajaan.
“Tenaga boleh diperbaharui adalah keperluan ekonomi, bukan sekadar isu alam sekitar.
“Pelaburan dalam sektor ini mampu cipta industri baharu, peluang pekerjaan dan menggalakkan inovasi,” katanya pada Majlis Makan Malam SAREC 2025.
Dr. Yusof turut menekankan pentingnya keselamatan tenaga, dengan menyifatkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai risiko kepada kestabilan bekalan dan harga.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam SAREC, yang dijangka menjana dialog dan kerjasama strategik menyokong aspirasi tenaga bersih Sabah.
QSB, katanya, memainkan peranan penting sebagai cabang pelaburan kerajaan negeri sejak 1995, dan kini berfungsi sebagai rakan strategik merentas sektor utama ekonomi.
SAREC 2025, yang dirasmikan hari ini oleh Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun, menyokong pelan jangka panjang Sabah melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040).