SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan, Sabah, telah menahan reman seorang pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat di Sandakan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada beberapa individu dan kontraktor melibatkan projek pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 1 Mei 2025 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dikeluarkan Hakim Zaini Fishir selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima wang rasuah sekitar RM40,000 sejak 2022 sehingga 2025 sebagai dorongan memberikan projek permbinaan rumah berkenaan kepada beberapa individu dan kontraktor.
Susulan itu, suspek telah ditahan sekitar jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.